4 Februari 2013 - 20:30

Masalah perlu diselesaikan berasaskan persaudaraan, semangat perdamaian, dialog yang membangun terutama sekali tentang Syria, seterusnya pemberhentian segera pertumpahan darah di negara saudara kita ini.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Meskipun penganut ajaran Wahabi di seluruh dunia membiayai pemberontakan dan pembunuhan umat Islam di Syria, namun Syeikh al-Azhar mempunyai pendirian sebaliknya.

Dalam kenyataan terbaru Dr. Ahmad Tayyib, beliau menegaskan betapa pentingnya penyelesaian konflik di Syria berasaskan persaudaraan, suasana damai dan dialog yang membangun serta pemberhentian segera semua keganasan.

Beliau berkata demikian hari ini sempena menjelang Persidangan Kemuncak OIC yang akan dilangsungkan di Kaherah dengan menyatakan, "Sesungguhnya umat Islam dianjurkan bertoleransi dan melaksanakan keamanan. Kita prihatin terhadap seluruh organisasi dan persidangan yang kita ikuti demi menyelesaikan masalah dengan cara yang aman. Untuk menyelesaikan masalah pertamanya hendaklah berasaskan persaudaraan, semangat perdamaian, dialog yang membangun terutama sekali tentang Syria, seterusnya pemberhentian segera pertumpahan darah di negara saudara kita ini."

Tambah beliau lagi, tragedi yang menimpa saudara kita di Palestin dieksploitasi dengan kepentingan antarabangsa dan matlamat yang tidak sah. Oleh itu wajiblah bagi kita, bahkan ke atas seluruh pencinta kebenaran serta kebebasan agar membantunya.

Syeikh al-Azhar juga menegaskan tanggungjawab kita menghadapi fenomena Islam-fobia, beramal dengan tolerasi agama serta menyampaikan mesej al-Quran kepada seluruh manusia.

Selain itu beliau turut menceritakan bahawa al-Azhar merupakan hati kepada seluruh penganut agama Islam, pemikiran dan suara hatinya adalah denyut nadi yang menghidupkan harapan umat dalam membela syariat Islam, perkembangannya dan penyelidikannya.